KUALA LUMPUR: Penglibatan aktif ibu bapa, komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan merupakan elemen penting dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menegaskan bahawa transformasi pendidikan yang dirancang bagi tempoh sedekad akan datang memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak, khususnya dalam melaksanakan kurikulum baharu prasekolah dan persekolahan yang akan diperkenalkan secara berperingkat.
“Pelaksanaan kurikulum baharu prasekolah telah pun bermula, manakala usaha memperluaskan akses kepada kelas prasekolah sedang dipertingkatkan di seluruh negara.
“Pada tahun hadapan, kurikulum persekolahan baharu pula akan diperkenalkan kepada murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu.
“Segala inisiatif ini hanya dapat direalisasikan dengan kerjasama erat daripada ibu bapa dan masyarakat. Sebagai contoh, program sesi membaca yang diperkenalkan kepada murid prasekolah memerlukan penglibatan ibu bapa untuk meluangkan masa membaca bersama anak-anak di rumah,” katanya pada Ahad (31 Mei).
Beliau menjelaskan bahawa banyak lagi program pendidikan yang memerlukan sokongan bersama bagi memastikan objektif pembangunan modal insan dapat dicapai dengan berkesan.
Terdahulu, Fadhlina menghadiri sesi libat urus bersama warga pendidik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta wakil Pembabitan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) bagi kawasan Ayer Molek dan Pengkalan Batu di Melaka.
Dalam pertemuan tersebut, Fadhlina turut menggesa Melaka menjadikan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu sebagai pemangkin untuk terus meningkatkan mutu pendidikan dan memperkukuh ekosistem pembelajaran di negeri itu.
Pada majlis sama, beliau menyampaikan peruntukan berjumlah RM280,000 bagi projek naik taraf bilik guru yang akan memberi manfaat kepada 13 buah sekolah.
Beliau berharap penambahbaikan kemudahan tersebut dapat meningkatkan keselesaan guru dalam menjalankan tugas, sekali gus menyuntik motivasi untuk terus memberikan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti kepada murid.








