AMK: Tanpa Anwar, mustahil Johor raih pelaburan RM110 bilion

JOHOR BAHRU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia berpandangan kejayaan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Johor ketika ini merupakan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin, berkata pencapaian negeri itu termasuk kemasukan pelaburan bernilai lebih RM110 bilion, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta pelaksanaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) tidak berlaku secara kebetulan.

“Kejayaan pembangunan Johor hari ini adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan MADANI yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan telah membantu Johor muncul sebagai destinasi utama pelaburan, sekali gus menarik minat pelabur global serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.

Danish berkata, kejayaan menarik pelaburan berteknologi tinggi dan pembangunan industri masa depan turut dipacu dasar ekonomi yang diyakini pelabur antarabangsa.

“Jika bukan kerana sokongan dan komitmen Kerajaan Persekutuan, mustahil Johor mampu muncul sebagai negeri yang merekodkan pelaburan tertinggi di Malaysia dan menjadi tumpuan pelabur global,” katanya.

Danish turut mengaitkan kejayaan pembangunan JS-SEZ dengan kerjasama strategik antara Malaysia dan Singapura yang disokong Kerajaan Persekutuan.

Katanya, usaha memperkukuh hubungan ekonomi kedua-dua negara berjaya meletakkan Johor sebagai pintu masuk utama pelaburan antarabangsa ke Malaysia.

Dalam pada itu, Danish berkata projek RTS yang kini sedang giat dibangunkan bakal menjadi penyelesaian jangka panjang kepada masalah kesesakan di Tambak Johor yang telah berlarutan sekian lama.

“RTS tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan, komitmen dan rundingan Kerajaan Persekutuan MADANI.

“Begitu juga dengan pelbagai inisiatif lain termasuk penambahbaikan CIQ, penggunaan kod QR imigresen serta pembangunan infrastruktur sempadan,” ujarnya.

Beliau berkata pelaksanaan projek tebatan banjir, pembangunan logistik dan pelbagai infrastruktur lain turut mendapat manfaat daripada sokongan serta peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau yakin rakyat Johor akan membuat penilaian berdasarkan prestasi, rekod pencapaian serta kemampuan sesebuah kerajaan dalam membawa pembangunan dan menyelesaikan isu rakyat pada pilihan raya akan datang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat