Polis Berjaya Berkas Ahli Geng TR Dalam Operasi Lima

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang dikehendaki kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah terancang, menerusi operasi khas dikenali sebagai Operasi Lima.

Menurut kenyataan media PDRM pada Khamis, suspek dipercayai merupakan ahli kumpulan jenayah terancang Geng TR yang aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan serta aktiviti dadah di sekitar Selangor sejak 2021.

“Suspek merupakan ahli kumpulan jenayah terancang Geng TR yang bergerak aktif melakukan kesalahan jenayah kekerasan dan aktiviti dadah di sekitar negeri Selangor sejak tahun 2021,” katanya.

Difahamkan, suspek ditahan pada 3 Jun lalu berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada 17 April 2026.

Malah, lelaki itu turut menjadi sasaran Notis Merah Interpol yang dikeluarkan pada 7 Mei 2026.

“Tangkapan dibuat terhadap suspek kerana menjadi ahli suatu kumpulan jenayah terancang dan disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan,” katanya.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Penahanan suspek dilaksanakan hasil kerjasama erat pihak berkuasa Malaysia, India dan Thailand ketika lelaki itu berada dalam penerbangan dari Chennai, India menuju ke Bangkok, Thailand sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

“Suspek telah ditangkap dengan kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand semasa dalam penerbangan dari Chennai, India menuju ke Bangkok, Thailand sebelum dibawa pulang ke Malaysia,” katanya.

Siasatan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan serius termasuk pembunuhan, rompakan berkumpulan menggunakan senjata dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Suspek dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada jam 10 pagi hari ini mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

PDRM dalam kenyataannya turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India dan Thailand atas kerjasama yang diberikan dalam usaha mengesan serta menahan suspek.

“PDRM merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India dan Thailand atas sinergi dan kerjasama erat yang diberikan, di samping menegaskan komitmen berterusan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang demi memastikan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia diutamakan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat