KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan bahawa Islam tidak wajar dipersempitkan sebagai milik eksklusif mana-mana parti politik, termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, berkata kenyataan dan tulisan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang bertajuk “PAS Tidak Ditenggelamkan Selagi Bersama Islam” memperlihatkan kecenderungan parti itu untuk menggambarkan PAS sebagai sinonim dengan Islam.
“Islam merupakan agama suci yang menjadi milik seluruh umat Islam dan tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana organisasi politik.
“Apabila PAS menggambarkan bahawa meninggalkan PAS seolah-olah meninggalkan perjuangan Islam, ia merupakan pendekatan politik yang berbahaya kepada demokrasi dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mahfuz menegaskan bahawa PAS berhak membawa ideologi dan perjuangannya, namun parti itu tidak boleh meletakkan dirinya sebagai pihak yang paling benar dalam mentafsirkan Islam.
Beliau berkata, dalam sistem demokrasi, semua parti politik terbuka kepada kritikan dan penilaian rakyat.
“Mengkritik PAS bukan bermaksud mengkritik Islam.
“Mengkritik Presiden PAS pula adalah kritikan terhadap seorang ahli politik, bukannya terhadap institusi ulama,” katanya lagi.
Mengulas rekod kerjasama politik PAS, Mahfuz berkata rakyat masih mengingati sejarah hubungan parti itu dengan beberapa rakan politik.
“PAS pernah bekerjasama dengan DAP, kemudian bermusuh secara terbuka.
“Bekerjasama pula dengan UMNO selepas puluhan tahun tuduhan merosakkan Melayu dan Islam.Kini hubungan dengan Bersatu juga mula bergolak.
“Jika hampir semua rakan politik akhirnya dituduh tidak ikhlas, rakyat berhak bertanya, siapakah sebenarnya yang gagal membina kepercayaan dalam kerjasama politik?” Soalnya.
Beliau turut menambah, rakyat kini semakin matang dan mampu membezakan antara Islam sebagai agama yang suci dengan PAS sebagai sebuah parti politik yang juga tertakluk kepada penilaian rakyat.
“Malaysia memerlukan politik yang membawa rahmah, kestabilan dan perpaduan, bukannya politik yang memonopoli agama untuk menghalalkan setiap keputusan parti.

“Islam akan terus mulia tanpa perlu disandarkan kepada mana-mana parti politik dan tiada parti politik yang menjadi maksum hanya kerana menggunakan dalil agama dalam setiap kenyataan mereka,” ujarnya.








