PAS, henti bawa imej ‘parti kampung’ kena lebih serius – Amin Ahmad

KANGAR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) perlu berhenti membawa imej sebagai “parti kampung” dan bersedia dipertanggungjawabkan secara lebih serius, selari dengan kedudukan parti itu sebagai kuasa politik utama negara ketika ini.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis, Amin Ahmad berpandangan terdapat kegelisahan dalam kalangan pimpinan, ahli serta penyokong siber PAS apabila parti tersebut menjadi tumpuan kritikan, khususnya dalam suasana politik negara yang sedang berdepan pelbagai krisis.

“Ini perkara yang boleh difahami. Lumrah manusia tidak selesa apabila kelemahan diperkatakan. Namun PAS bukan objek mati, ia digerakkan oleh manusia. Mengkritik PAS bermaksud menyentuh manusia yang menggerakkannya,” katanya dalam satu kenyataan mengulas perkembangan politik semasa.

Amin menjelaskan bahawa PAS bukanlah parti baharu dalam wacana kritikan politik. Sejak sekian lama, PAS menjadi subjek perbincangan awam kerana kedudukannya sebagai pesaing utama UMNO dalam politik Melayu-Islam, walaupun pada suatu ketika DAP dilihat sebagai wajah pembangkang utama negara.

“Dalam konteks Malaysia, isu Melayu dan Islam hampir tidak pernah terpisah daripada politik. Justeru, PAS akan sentiasa menjadi perhatian,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa PAS kini berada pada kedudukan yang jauh berbeza berbanding dahulu, apabila muncul sebagai parti berasaskan Melayu-Islam yang memiliki kerusi Parlimen terbanyak.

“PAS kini parti dominan. Ia tidak lagi boleh mengharapkan simpati seperti dahulu. Sebagai parti utama, PAS mesti dipertanggungjawabkan secara serius dalam semua isu nasional,” katanya.

Mengulas soal kerjasama politik, Amin berpandangan bahawa PAS sering dilihat sebagai parti yang “beruntung” dalam hampir semua pakatan yang disertainya, namun pada masa sama gagal mengekalkan kerjasama jangka panjang dengan rakan politik, sama ada Melayu mahupun bukan Melayu.

“PAS jarang rugi dalam kerjasama politik, tetapi ia juga jarang mampu bertahan lama. Pasti ada sebabnya,” katanya.

Beliau mengaitkan situasi itu dengan kedudukan PAS dalam gabungan politik, termasuk dalam Perikatan Nasional (PN), yang menurutnya menyaksikan PAS sering berada dalam keadaan tersepit meskipun memiliki kekuatan kerusi.

“Dalam PN, selain PAS, terdapat Bersatu, Gerakan dan MIPP. Secara realitinya, Gerakan dan MIPP cenderung memihak Bersatu. Situasi hampir sama pernah berlaku dalam Pakatan Rakyat dahulu,” jelasnya.

Menurut Amin, kegagalan kerjasama mungkin berpunca daripada keinginan PAS untuk sentiasa mengetuai gabungan, sedangkan kepimpinan parti itu belum sepenuhnya diterima sebagai pemimpin bersama oleh rakan setara.

Amin turut menyentuh apa yang disifatkannya sebagai kekeliruan asas dalam pendekatan PAS, iaitu mencampuradukkan perjuangan agama dengan realiti politik praktikal.

“PAS menjadikan politik sebagai perjuangan akidah, terinspirasi daripada Revolusi Iran. Akibatnya wujud pendekatan hitam-putih dalam politik, berbeza dengan keluasan dan keanjalan fiqh siyasah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan sedemikian menyukarkan PAS untuk membina kerjasama politik yang stabil dan inklusif dalam masyarakat majmuk.

“Persoalannya, adakah PAS mahu terus berpuas hati dengan keadaan ini, atau bersedia melakukan perubahan selari dengan tanggungjawabnya sebagai parti utama negara?” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat