PETALING JAYA: Negara yang mampu membekalkan elektrik bersih, stabil dan berpatutan pada skala besar akan berada di hadapan dalam menarik pelaburan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) generasi baharu.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia mempunyai kelebihan dalam perlumbaan pusat data dan infrastruktur AI, namun dalam masa sama perlu memastikan keterjaminan bekalan kuasa.
“Pusat data bukan sekadar pengguna tenaga. Jika dirancang dengan baik, ia boleh menjadi pemangkin yang membantu membiayai peralihan tenaga bersih negara, di samping mewujudkan limpahan ekonomi yang signifikan kepada rakyat dan perniagaan tempatan,” kongsinya sebagai panel Pusat Data dan Keselamatan Tenaga di Energy Transition Conference pada Khamis.
Selain itu, Zafrul turut menekankan dasar ‘pengguna-bayar’ yang telus dan boleh diramal, pertumbuhan pusat data dipacu oleh bekalan tenaga bersih baharu (CRESS, solar + storan, hidro dan nuklear) dan grid yang berdaya tahan untuk memastikan bekalan kuasa teguh 24/7.
“Dari segi limpahan ekonomi, industri pusat data telah menyumbang sekitar USD1.4 bilion kepada output ekonomi Malaysia dan mewujudkan kira-kira 4,400 pekerjaan pada tahun 2024.
“Menjelang 2030, sumbangan ini dijangka meningkat kepada sekitar USD34 bilion dengan lebih 30,900 peluang pekerjaan diwujudkan.
“Angka ini menunjukkan bahawa pembangunan pusat data bukan sahaja menyokong ekonomi digital, malah turut memacu pertumbuhan industri tempatan, pembangunan bakat dan inovasi teknologi (KPMG/APDCA),” ujarnya lagi.
Tambahnya, hal ini perlu dilakukan demi matlamat memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan digital, pusat data dan infrastruktur AI masa hadapan.








