Imigresen Johor Perhebat Tindakan Tangkap Warga Asing Salah Guna Pas Lawatan

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperhebat tindakan penguatkuasaan melalui satu Operasi Bersepadu di kawasan medan selera sekitar Johor Bahru pada 5 Jun lalu.

Operasi yang bermula pukul 8 malam itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan bagi mengesan serta membanteras kehadiran warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, operasi itu turut memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.

“Operasi bersepadu ini mencerminkan komitmen berterusan agensi-agensi penguat kuasa dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan, memelihara ketenteraman awam serta memastikan kedaulatan undang-undang negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Serbuan serentak di beberapa premis makanan berjaya mengesan warga asing yang bekerja tanpa pas yang sah serta menyalahgunakan kemudahan pas lawatan sosial.

Pemeriksaan menyeluruh turut dilakukan terhadap pekerja dan majikan tanpa sebarang kompromi.

Hasil pemeriksaan awal mendapati 72 pekerja asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Mereka terdiri daripada 17 lelaki warga Myanmar, empat lelaki warga Indonesia, tiga lelaki warga Vietnam, 37 wanita warga Vietnam, seorang wanita warga China serta 10 wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pelayan restoran dan tukang masak berusia antara 19 hingga 46 tahun.

Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut, manakala lima keping borang 29 (saman kepada saksi) turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan.

Mohd Rusdi berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa tanpa mengira lokasi dan waktu bagi mengesan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang negara.

“Selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan dan memastikan keselamatan serta integriti negara terus terpelihara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat