KEDAH: Taktik licik sindiket penyeludupan migran terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 10 individu termasuk seorang pegawai kanan JIM dalam operasi khas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Sabtu.
Operasi yang dinamakan Ops ‘Toyu’ bermula pukul 12.50 tengah hari itu digerakkan hasil risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Negeri Kedah serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Munurut JIM, antara yang ditahan ialah seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand dipercayai bertindak sebagai ‘ejen’ sindiket, seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’, lima lelaki warga India, seorang lelaki warga Pakistan serta seorang pegawai kanan JIM yang disyaki menjadi ‘pemudah cara’.
“Semakan awal mendapati seorang warga India yang ditahan merupakan imigran yang telah disenaraihitam, manakala warga Pakistan terbabit menggunakan e-visa palsu.
“Turut disita dalam operasi ialah lima pasport India, satu pasport Pakistan, pas sempadan Malaysia dan Thailand, cap keselamatan imigresen, 12 telefon bimbit, wang tunai 30,000 Rupee India, sebuah kereta Nissan Sentra serta dua motosikal Honda Wave dan Honda EX5,” kata kenyataan itu.
JIM berkata, modus operandi sindiket adalah membawa masuk warga asing dari Thailand ke Malaysia menggunakan ‘transporter’ yang menyamar sebagai pemandu teksi.
“Setibanya di pintu masuk, pegawai yang berperanan sebagai ‘pemudah cara’ akan menurunkan ‘endorsement’ ke dalam pasport walaupun tidak memenuhi syarat kemasukan.
“Sindiket mengenakan bayaran RM1,000 seorang dengan RM400 dibayar kepada pegawai bagi setiap pasport.
“Kerugian hasil negara akibat kegiatan ini dianggarkan mencecah RM4.1 juta sejak awal tahun,” kata JIM.
Katanya, kesemua tahanan kini disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.
Dua lelaki dan dua wanita tempatan turut dikeluarkan notis untuk hadir membantu siasatan.
“Jabatan Imigresen Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran termasuk pegawai JIM bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara terus terpelihara,” tegas JIM.








