KUALA LUMPUR: Peruncit pakaian, Padini Holdings Bhd, sedang menjalankan semakan dalaman susulan pembekuan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak-anak syarikatnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu menjelaskan bahawa berdasarkan maklumat semasa, tindakan pembekuan berkenaan dibuat oleh SPRM berkaitan siasatan yang melibatkan beberapa pihak ketiga di luar kumpulan, dan tidak melibatkan pekerja, pegawai atau pihak pengurusan Padini.
Menurut Padini, setakat ini syarikat tidak dimaklumkan mengenai sebarang dakwaan salah laku terhadapnya dan memahami bahawa tindakan pembekuan akaun tersebut adalah sebahagian daripada prosedur siasatan.
Bagi menangani situasi itu, syarikat memaklumkan telah melantik penasihat undang-undang luar untuk mendapatkan pandangan profesional serta sedang mengambil langkah sewajarnya, termasuk memohon relif bagi menyahbekukan akaun yang terlibat.
Dalam masa sama, Padini menegaskan operasi harian kumpulan kekal berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan, dengan aktiviti perniagaan diteruskan seperti biasa.
Syarikat itu turut memaklumkan akan memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa sekiranya terdapat sebarang perubahan penting, selain menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa serta memastikan ketelusan sepanjang proses siasatan.
Semalam, Padini menerusi makluman kepada Bursa Malaysia mengesahkan bahawa beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya telah dibekukan oleh SPRM di bawah perintah yang dikeluarkan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Baca juga:








