SUNGAI PETANI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menutup rangkaian program di Kedah dengan menghadiri Himpunan Rakan Muda MADANI di Taman Keladi, Sungai Petani, bersama ribuan anak muda yang disifatkan sebagai harapan serta kekuatan masa depan negara.
Dalam ucapan penuh semangat, beliau berkata, ukuran sebenar kemajuan negara tidak boleh hanya dilihat dari sudut pembangunan fizikal, teknologi atau kecerdasan buatan.
“Yang lebih utama ialah pembinaan nilai, akhlak, daya fikir dan semangat ihsan yang menjadi teras Malaysia MADANI,” katanya.
Anwar berkata, anak muda mesti diberikan ruang untuk memimpin, berkarya, bersukan, berkhidmat kepada masyarakat serta menyumbang idea demi kemajuan negara.
“Masa depan Malaysia tidak akan ditentukan oleh politik kebencian atau sentimen perkauman tetapi oleh generasi yang menghargai kepelbagaian dan menjadikannya sumber kekuatan,” katanya.
Perdana Menteri turut menyatakan keyakinan bahawa dengan ilmu, disiplin, keyakinan dan tekad yang kuat, anak-anak muda mampu mengangkat martabat negara serta memastikan Malaysia terus kekal aman, bersatu dan disegani di persada dunia.








