Anwar Seru Anak Muda Elak Politik Kebencian

PETALING JAYA: Kemajuan sesebuah negara tidak boleh hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, pelaburan atau peluang pekerjaan semata-mata, sebaliknya harus dinilai berdasarkan sejauh mana keadilan dan kesaksamaan dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Ahad, Anwar mengingatkan bahawa pencapaian semasa tidak wajar dijadikan alasan untuk berasa selesa.

“Sebab itu kita tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian semasa, sebaliknya terus berikhtiar melakukan yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menyingkap perjuangan tokoh besar B.R. Ambedkar yang bangkit daripada masyarakat terpinggir sebagai inspirasi bahawa keadilan, maruah insan dan peluang saksama mesti sentiasa menjadi keutamaan.

“Dalam semangat sama, saya mengulangi peringatan Mahatma Gandhi bahawa dunia ini cukup untuk memenuhi keperluan semua tetapi tidak akan pernah cukup untuk memenuhi ketamakan segelintir pihak.

“Nilai ihsan, hormat-menghormati dan kesederhanaan harus terus menjadi pedoman dalam membina masyarakat yang beradab,” katanya.

Anwar menyeru generasi muda tampil dengan idealisme segar, menolak politik kebencian dan perkauman serta menentukan masa depan negara berasaskan ilmu, perpaduan dan keadilan.

Kerajaan MADANI, katanya, akan terus mempertahankan prinsip keadilan untuk semua.

“Selain geran tahunan RM25 juta kepada AIMST, kerajaan turut bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membantu lebih ramai pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapat akses pendidikan yang lebih baik di universiti ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada mendiang Tun S. Samy Vellu atas jasa besar dalam penubuhan AIMST.

“Masa depan negara terletak di tangan anak-anak muda, manfaatkan peluang pendidikan ini sebaiknya untuk mengangkat martabat diri, masyarakat dan negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat