PETALING JAYA: Gandingan badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2024 selepas kejayaan mereka mempertahankan pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris.
Ini merupakan kali kedua mereka menerima anugerah berprestij itu selepas turut dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada 2022.
Aaron-Wooi Yik, yang kini berada di ranking kelima dunia, mengetepikan saingan empat calon lain iaitu pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia, Wong Weng Son (wushu), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Abdul Latif Maxzakir (silat).
Antara pencapaian utama mereka tahun lalu termasuk memenangi Korea Masters, muncul naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia serta mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia.
Sementara itu, atlet boling padang Nor Farah Ain Abdullah mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2024, menjadikannya atlet pertama dari sukan itu yang menerima anugerah tertinggi.
Nor Farah, 24, mengungguli kategori itu selepas mengetepikan Sin Li Jane (boling), Tan Cheong Min (wushu), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal trek) dan Nor Farah Mazlan (silat).
Antara pencapaiannya yang menyerlah ialah pingat emas dalam acara individu wanita di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Channel Islands, April lalu.
Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 turut menyaksikan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi menyempurnakan penyampaian anugerah.
Dalam kategori paralimpik, atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin sekali lagi dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik selepas meraih gelaran sama pada 2023.
Gelaran Olahragawati Paralimpik pula menjadi milik Hasmunirah Malik (boling padang para), mengatasi cabaran empat calon lain termasuk dua atlet para berbasikal.
Berikut senarai penerima Anugerah Sukan Negara 2024:
Olahragawan:
Aaron Chia/Soh Wooi Yik (badminton)
Olahragawati:
Nur Farah Ain Abdullah (boling padang)
Olahragawan Para:
Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting)
Olahragawati Para:
Hasmunirah Maliki (boling padang)
Pasukan Lelaki:
Sepak takraw
Pasukan Wanita:
Tenpin boling
Jurulatih Lelaki:
Jamil Adam (powerlifting)
Jurulatih Wanita:
Siti Rahmah Mohamed Nasir (pencak silat)
Anugerah Tokoh Sukan:
Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam
Anugerah Kepimpinan Sukan:
Tan Sri Mohamad Norza Zakaria