Abang belon nafi dakwaan DBKL, berniaga untuk sambut raya

PETALING JAYA: Seorang penjaja belon yang dikenali sebagai Zaim menafikan dakwaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bahawa dia telah diusir sebanyak tiga kali dalam kejadian pergelutan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), semalam.

Dia yang kini berada di Hospital Serdang, dilaporkan mengalami patah tulang belakang selepas menjalani ujian x-ray.

“Tak ada, tidak sama sekali, tidak betul. Saya nak jumpa dia orang pun saya takut. Kalau saya jumpa dia orang barang saya kena rampas sebab saya meniaga tak berlesen.

“Saya nak mohon lesen saya tak tahu prosedur macam mana. Saya ini ada sakit angin pasang, saya nak cari duit sikit untuk sakit saya ini dan satu lagi untuk Hari Raya,” katanya dalam satu video selepas diziarahi pegawai Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurut lelaki itu, dia juga menafikan dakwaan bahawa dia bukan warganegara tempatan sebaliknya berasal dari Jerantut, Pahang.

Dalam video itu juga, dia turut memohon jasa baik pihak terlibat untuk mendapatkan lesen berniaga yang sah kerana itu sahaja kemahiran yang dimiliknya.

“Saya memang minat berniaga dan ada adik-adik yang masih belajar,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai laporan polis katanya dia berhasrat untuk membuat laporan polis selepas kejadian itu lagi namun tidak dapat berbuat demikian akibat kesakitan yang ditanggungnya.

Terdahulu, DBKL dalam kenyataan menjelaskan bahawa keengganan seorang penjaja belon menerima arahan penguatkuasanya telah menjadi punca berlaku kekecohan di Jalan TAR.

DBKL berkata, teguran juga sudah diberikan namun tidak diendahkan sebaliknya bertindak agresif apabila teguran masuk kali ketiga.

“Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon tersebut bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila beliau menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas,” dakwa DBKL.

Anda Mungkin Berminat