KUALA LUMPUR: Menjelang pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat esok (Jumaat), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan agar memberi perhatian khusus kepada keluarga muda dalam dokumen belanjawan yang bakal menentukan hala tuju sosial dan ekonomi negara.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, sokongan terhadap keluarga muda perlu dilihat sebagai pelaburan strategik terhadap masa depan Malaysia, bukan sekadar semakan angka cukai semata-mata.
Menurutnya, had pelepasan cukai semasa bagi yuran taska sebanyak RM3,000 dan anak tanggungan sebanyak RM2,000 sudah tidak lagi seiring dengan kos sara hidup semasa.
“Oleh itu, ABIM menggesa kerajaan menaikkan had pelepasan yuran taska kepada sekurang-kurangnya RM6,000 dan anak tanggungan kepada RM3,000 bagi memberi kelegaan kepada ibu bapa muda,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
ABIM turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan Pelan Induk Pembangunan Awal Kanak-kanak MADANI sebagai dasar nasional yang holistik dan berpaksikan kesejahteraan keluarga muda.
Katanya, cadangan itu merangkumi penubuhan Dana Pembangunan Awal Kanak-kanak MADANI, insentif cukai kepada majikan yang menubuhkan taska di tempat kerja serta bantuan khas untuk keluarga muda dalam kategori B40 dan M40 rendah.
Selain itu Ahmad Fahmi menyarankan pelaksanaan cuti ibu bapa yang fleksibel serta latihan profesional bagi tenaga pengajar taska agar kualiti pendidikan awal kanak-kanak dapat ditingkatkan dan selaras dengan piawaian kebangsaan.
Dalam usaha memperkemas tadbir urus, beliau turut mencadangkan penyelarasan pentadbiran taska dan tadika di bawah satu institusi nasional bagi mengelakkan pertindihan peraturan antara kementerian.
“Pelaburan terhadap keluarga muda adalah pelaburan terhadap masa depan Malaysia.
“Belanjawan 2026 mesti menjadi titik tolak kepada reformasi dasar keluarga berpaksikan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan pembangunan insan,” katanya.