PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya serangan udara rejim Israel ke atas Doha, Qatar pada Rabu dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa serta pengkhianatan terhadap usaha damai dunia.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata serangan itu bukan sahaja menghina kedaulatan sebuah negara berdaulat, malah jelas sabotaj kepada proses rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung.
“Tindakan Israel menyerang kepimpinan Hamas ketika rundingan damai di Doha membuktikan mereka menolak jalan diplomasi dan sengaja mengekalkan peperangan sebagai strategi kekal,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, dengan menyasarkan Qatar yang menjadi pengantara, Israel memberi isyarat bahawa tiada negara selamat daripada keangkuhan mereka. Malah, Malaysia juga boleh dijadikan sasaran kerana pendirian tegas menyokong Palestin.
ABIM turut menegaskan kemarahan dunia tanpa tindakan nyata tidak akan menghentikan genosid. Lebih 65,000 rakyat Palestin terbunuh sejak 7 Oktober 2023, termasuk wanita dan kanak-kanak, manakala Gaza terus berdepan krisis kemanusiaan yang parah.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula dikritik kerana gagal melaksanakan mandatnya apabila resolusi melindungi orang awam berulang kali diveto.
“Kata-kata tanpa tindakan hanyalah lesen untuk Israel terus membunuh tanpa henti,” tegasnya.
ABIM berpendapat serangan di Doha adalah amaran bahawa isu Palestin kini telah menjadi ancaman global yang mencabul kedaulatan dan keamanan sejagat. Dunia, katanya, mesti berani bertindak dengan langkah konkrit terhadap Israel.
ABIM konsisten menyuarakan solidariti terhadap Palestin dan aktif menggerakkan bantuan kemanusiaan serta mendesak tindakan antarabangsa bagi mendakwa rejim Israel atas jenayah perang.
Baca juga:








