ABIM Kutuk Serangan Israel Ke Atas Syria, Dakwa Wujud Agenda ‘Israel Raya’

PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyuarakan kecaman tegas terhadap siri serangan udara besar-besaran yang dilancarkan Israel ke atas Damsyik, Syria sebagai tindakan yang disifatkan sebagai gila dan tidak berperikemanusiaan.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, tindakan agresif itu jelas mencerminkan hasrat Israel yang melebihi isu Palestin semata-mata.

“Serangan bersiri ini membuktikan wujudnya agenda ‘Israel Raya’ yang berbahaya dan mengancam kestabilan serantau,” katanya dalam satu kenyataan.

ABIM turut melahirkan kebimbangan terhadap impak global serangan tersebut yang berpotensi mencetuskan perang serantau serta mencabar prinsip undang-undang antarabangsa.

Menurut Ahmad Fahmi, Israel kini bertindak seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang, tanpa menghormati kedaulatan negara lain.

Oleh itu, beliau menyeru masyarakat dunia agar bersatu menentang kezaliman ini, bukan sahaja atas dasar agama tetapi juga atas nama kemanusiaan sejagat.

“Keamanan dunia tidak akan tercapai selagi kerakusan ini dibiarkan berleluasa,” tegasnya.

Serangan Israel dilaporkan telah memusnahkan sebahagian bangunan Kementerian Pertahanan dan menyasarkan kawasan berhampiran Istana Presiden di Damsyik, dipercayai sebagai tindak balas terhadap serangan tentera kerajaan ke atas komuniti Druze di selatan Syria.

Anda Mungkin Berminat