PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung beberapa inisiatif meringankan kos sara hidup yang disifatkan sebagai langkah tepat dan bersifat segera demi kesejahteraan rakyat.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, inisiatif seperti bantuan RM100, penurunan harga RON95 dan perluasan program Jualan Rahmah mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI terhadap kebajikan masyarakat.
“ABIM melihat pengumuman ini bukan hanya sebagai reaksi kepada tekanan semasa tetapi manifestasi iltizam kerajaan untuk terus menjayakan agenda reformasi dan pemulihan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, langkah yang diambil turut memberi isyarat jelas bahawa kerajaan tidak tunduk kepada desakan politik picisan yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa inisiatif itu akan diberi nilai tambah dalam jangka masa panjang melalui pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kelak.
Dalam masa sama, beliau berkata, pelaksanaan dasar perlu disertai dengan pemantauan rapi, ketelusan dan tadbir urus berintegriti supaya manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.
“Keberhasilan Malaysia MADANI hanya akan terjamin dengan gabungan iltizam politik yang kukuh, sokongan masyarakat sivil dan dokongan rakyat secara kolektif,” ujarnya.