PETALING JAYA: Kerajaan mengiktiraf peranan besar Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam membentuk pemikiran dan idealisme generasi muda sejak penubuhannya pada 6 Ogos 1971 sempena ulang tahun ke-54 pertubuhan itu.
Sebagai gerakan dakwah dan kebajikan yang berteraskan semangat keilmuan serta keinsafan sosial, ABIM terus menjadi wadah penting dalam melahirkan pemimpin yang berintegriti dan berjiwa rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan sumbangan ABIM dalam memperkukuh kefahaman Islam yang progresif, selain mendorong perubahan sosial yang adil serta menjulang agenda pembangunan insan selaras aspirasi Malaysia MADANI.
“Selamat Ulang Tahun ke-54 kepada ABIM. Semoga terus menjadi suara moral umat, mendepani cabaran zaman dengan hikmah dan keberanian, serta kekal menjadi rakan strategik negara dalam membina masa depan lebih saksama dan bermaruah untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan.
ABIM ditubuhkan pada 1971 sebagai sebuah organisasi belia Islam yang memperjuangkan dakwah, pendidikan dan pembangunan masyarakat, dan sejak itu kekal aktif menyumbang dalam pelbagai isu sosial, kebajikan dan pembangunan negara.
Baca juga: