ABPBH Ke-37: Ernie Zakri bawa pulang trofi Bintang Paling Popular

Oleh: Tyah Helmi

PENYANYI terkenal negara, Ernie Zakri akhirnya berjaya merangkul gelaran Bintang Paling Popular, di Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37 yang berlangsung di ibu negara malam tadi.

Kemenangan yang penuh bermakna itu, Ernie dianugerahkan takhta dengan 124,448,198 oleh undian peminatnya.

Sebelum ini, Erni yang merupakan penyanyi lunak utama negara meraih trofi Penyanyi Wanita Popular, menewaskan empat finalis Bintang Paling Popular iaitu Sweet Qismina, Emma Maembong, Wani Kayrie dan Tracie Sinidol.

Atas kemenangan itu, Ernie menerima trofi pewter ABPBH dengan bentuk skor muzik dengan ukiran lengkuk bermotif ‘reel’ filem seberat satu kilogram (kg) tertera gelaran Anugerah Bintang Paling Popular yang dihasilkan Tumasek Pewter dan wang tunai RM30,000.

Ernie atau nama penuh, Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, memulakan karier seni dengan menyertai Bintang RTM pada 2009. Sejak itu, namanya terus meniti kemasyhuran dengan deretan pencapaian membanggakan.

Ernie pernah meraih anugerah Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 menerusi lagu Aura. Karya itu turut meraih pengiktirafan Rakaman Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat