Oleh: Hanim Nadia
JOHOR BAHRU: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim mengingatkan bahawa kepimpinan bukanlah medan untuk meraih kemewahan, sebaliknya satu amanah besar yang perlu ditunaikan demi rakyat.
Dalam ucapan dasarnya sempena Kongres Nasional AMK, Adam mengingatkan pemimpin muda PKR agar tidak terjebak dalam keangkuhan kuasa, sebaliknya terus berpegang teguh pada nilai perjuangan reformasi.
“Bahaya terbesar dalam mengemudi kekuasaan adalah apabila kita tersasar dan mengulangi kealpaan yang pernah menjatuhkan pemerintah sebelum ini.
“Kita sendiri menyaksikan bagaimana kezaliman dan kesombongan itu ditolak rakyat,” katanya.
Sebagai Ketua AMK, Adam turut mengimbas kembali amanat pertamanya tahun lalu yang menekankan pembentukan sikap dan pembawaan diri pemimpin muda.
“Hasrat saya ketika itu adalah agar kita muncul sebagai teladan kepada anak muda yang sedang memerhatikan politik tanah air.
“Kita perlu bawa politik nilai dan pemikiran yang membina,” ujarnya.
Beliau juga merujuk pemikiran tokoh besar seperti Ibnu Khaldun dan Syed Hussein Alatas sebagai pedoman membentuk politik yang berakar pada prinsip dan moral.
“Saya juga pernah nukilkan rangkap Gurindam Dua Belas oleh Raja Ali Haji agar kita sentiasa membetulkan niat.
“Hidup jika tidak bernasihat, akan hanyut. Jika tidak bermuhasabah, akan sesat,” katanya lagi.
Adam berkata, perjuangan AMK bukanlah berasaskan kebencian terhadap individu tetapi penentangan terhadap budaya korup dan kebobrokan kuasa.
“Yang kita lawan adalah kejahatan, kesombongan dan kemungkaran dalam kalangan segelintir pemimpin yang membelakangi rakyat.
“Maka jangan sekali-kali kita mengulangi kesilapan itu.
“Jika rakyat berpaling kerana kita khianat, seribu pujukan pun belum tentu dapat memulihkan keyakinan mereka.
“Hati-hatilah, jangan sampai kita dicaci oleh rakyat yang selama ini berdiri di belakang kita,” katanya.
Adam turut menyeru anggota PKR untuk mengukuhkan semangat ‘assabiyah’ dalam parti, bukan dalam konteks kronisme tetapi sebagai satu kekuatan politik dalaman.
“Dalam soal pembinaan assabiyah, kita harus keluar daripada pemahaman kerangka sempit yang sering difahami umum. Ini bukan assabiyah atau kronisme dalam pentadbiran.
“Sebaliknya, ia adalah untuk assabiyah dengan kebijaksanaan iaitu mewujudkan semangat setiakawan, perpaduan dan kesatuan yang utuh sebagaimana diteorikan oleh Ibnu Khaldun,” katanya.