Adam Adli mohon maaf, nafi miliki pengawal peribadi dalam insiden di TRX

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli tampil memohon maaf susulan dakwaan seorang individu bernama Qistina yang mendakwa dikasari pengawal keselamatan dalam satu acara Riuh Raya di Tun Razak Exchange (TRX), malam semalam.

Dalam satu hantaran di platform X, individu berkenaan mendakwa hampir ditolak keluar dari lif oleh ‘pengawal’ yang mengiringi Adam, yang juga Ketua Pemuda PKR.

Dia turut menegur tindakan agresif berkenaan dengan menyatakan bahawa sebagai aktivis yang kini bergelar wakil rakyat, Adam sepatutnya lebih memahami situasi orang awam.

Menjelaskan perkara itu, Adam menafikan memiliki pengawal peribadi rasmi ketika menghadiri acara berkenaan bersama isterinya selepas waktu kerja. Katanya, kawalan keselamatan pada malam itu disediakan oleh pihak penganjur tanpa permintaannya.

“Saya hanya mempunyai seorang pegawai pengiring rasmi (ADC) dan seorang pemandu dari kementerian ketika dalam waktu kerja, namun semalam mereka bercuti,” jelasnya.

Menurut Adam, sebaik tiba di TRX selepas solat tarawih, beliau dimaklumkan bahawa penganjur telah menyediakan kawalan keselamatan untuk mengiringinya ke tapak acara, namun beliau sudah menolak keperluan tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengakui melihat beberapa tindakan kasar daripada pengiring yang cuba ‘membuka jalan’ dan telah beberapa kali menegur mereka supaya tidak menghalang atau menolak pengunjung lain.

“Saya juga telah meminta maaf kepada beberapa pengunjung yang terkesan akibat tindakan agresif pihak pengiring,” katanya.

Adam turut memberi jaminan bahawa kejadian tersebut tidak mencerminkan sikap dan etika beliau, baik ketika bekerja mahupun dalam situasi peribadi bersama keluarga.

Anda Mungkin Berminat