Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) baru-baru ini menekankan pentingnya penganjuran kejohanan bina badan yang bersih, adil dan berintegriti susulan penerimaan maklumat mengenai beberapa siri kejohanan yang dianjurkan oleh pihak swasta.
ADAMAS dalam satu kenyataan menyeru penganjur kejohanan untuk memastikan sukan bina badan bebas daripada unsur doping, selari dengan Kod Anti-Doping Dunia 2021.
Menurut ADAMAS, atlet yang terlibat dalam kejohanan itu perlu memahami prinsip ‘kebertanggungjawaban penuh’ (strict liability) yang mewajibkan mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa jua bahan terlarang yang dikesan dalam badan, sama ada secara sengaja atau tidak.
“Kami berpegang kepada prinsip bahawa atlet perlu sedar akan kesan doping terhadap kesihatan dan kerjaya mereka,” katanya.
Sukan bina badan mempunyai potensi besar untuk meraih pingat di kejohanan antarabangsa, namun turut dianggap berisiko tinggi dalam isu penyalahgunaan bahan terlarang seperti Androgenic Anabolic Steroid (AAS).
Bagi memastikan sukan tersebut terus berintegriti, ADAMAS mencadangkan setiap atlet wajib melalui pendidikan anti-doping sebelum menyertai mana-mana kejohanan.
Selain itu, ADAMAS turut mengingatkan penganjur acara sukan untuk mendapatkan pengiktirafan daripada badan induk sukan sebelum menganjurkan kejohanan.
Orang ramai juga digalakkan untuk menyemak pengiktirafan penganjuran kejohanan di laman web rasmi KBS di pautan erosa.kbs.gov.my bagi memastikan penganjur mengikuti garis panduan dan mematuhi Akta Pembangunan Sukan 1997.
ADAMAS berharap semua pihak, terutama penganjur dan atlet untuk terus menitikberatkan aspek integriti dalam sukan.
“Penganjur mesti mengutamakan kesihatan atlet dan memastikan kejohanan dianjurkan selari dengan prinsip sukan yang selamat dan adil,” tambah kenyataan tersebut.