KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia sekali lagi mencatat sejarah gemilang apabila berjaya menepati sasaran 181 pingat di Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025, menandakan pencapaian luar biasa buat negara.
Pingat ke-181 yang melengkapkan sasaran itu hadir daripada aksi penuh semangat Mohamad Yusshazwan Yusoff dalam acara perseorangan tenis berkerusi roda di Tennis Court, His Majesty the King’s 80th Birthday Anniversary Stadium, Thailand.
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
“Syabas dan tahniah kepada wira dan wirawati negara atas kejayaan mencapai pingat ke-181 di Sukan Para ASEAN Thailand 2025.
“Teruskan momentum kecemerlangan,” kata MSN dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
MSN turut menekankan bahawa kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang menjadi tulang belakang kejayaan kontinjen Malaysia.
Pencapaian bersejarah itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara kuasa besar sukan para di rantau ASEAN, selain menyuntik semangat baharu untuk memburu lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.








