KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan dan hukuman penjara serta sebatan, semalam.
Notis itu difailkan selepas AGC meneliti keputusan panel tiga hakim yang membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan atas pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Dalam kenyataan, AGC menjelaskan bahawa proses rayuan ini adalah sebahagian daripada sistem kehakiman bagi membolehkan keputusan mahkamah lebih rendah disemak semula.
“Ini adalah amalan biasa dalam sistem perundangan dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.
“Rayuan ini bertujuan memastikan isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Mahkamah Rayuan semalam sebulat suara memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Panel hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin turut mendapati tiada bukti kukuh untuk menyokong pertuduhan menyalahgunakan harta dan pengubahan wang haram.
Noorin yang membacakan penghakiman berkata, pendakwaan bukan sahaja gagal membuktikan elemen penting dalam setiap pertuduhan, malah pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram juga tidak dapat dikekalkan.
Pada 9 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Syed Saddiq atas semua pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta secara keseluruhan.
Hukuman itu melibatkan tiga tahun penjara dan satu sebatan atas kesalahan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi kesalahan salah guna harta, serta dua tahun penjara dan denda RM5 juta untuk setiap daripada dua pertuduhan pengubahan wang haram.
Mahkamah juga memerintahkan hukuman bagi kedua-dua kesalahan pengubahan wang haram berjalan serentak.
Baca juga:








