PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengingatkan orang ramai menghentikan penyebaran gambar dan maklumat yang tidak sahih berkaitan kes kematian Zara Qairina, di media sosial.
Dalam satu kenyataan hari ini, AGC memaklumkan bahawa tindakan segelintir pihak yang memuat naik kandungan sedemikian secara tidak bertanggungjawab boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.
“Maklumat yang belum ditentukan kesahihannya termasuk gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan siasatan telah tersebar menerusi pelbagai platform media sosial,” kata kenyataan itu.
Jabatan itu turut mengingatkan bahawa tindakan itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan menjejaskan kelancaran proses siasatan.
“Jabatan ini memandang serius perkara ini dan menyeru agar semua pihak menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan,” katanya.
Baru-baru ini tular satu video mendakwa bahawa Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh sehingga mengalami kecederaan dalaman.
Dakwaan itu tular sejak beberapa hari lalu menerusi pelbagai akaun tidak dikenali dalam media sosial, antara lain mengaitkan kecederaan Zara Qairina dengan tekanan mesin basuh, kononnya digunakan oleh ‘pembunuh’ untuk menghapuskan cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA).
Baca juga: