PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Khamis mengesahkan bahawa terdapat asas yang mencukupi untuk mendakwa empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang disyaki merogol seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka.
Dalam kenyataan media, AGC memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap individu-individu yang terlibat,” katanya.
Sehubungan itu, keempat-empat remaja terbabit akan didakwa di Mahkamah Majistret Melaka hari ini di bawah Seksyen 375B dan 377B Kanun Keseksaan [Akta 574] serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792].
Kes ini mendapat perhatian meluas selepas media melaporkan bahawa kesemua suspek, yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Mangsa dipercayai dirogol di kawasan sekolah dan siasatan awal menunjukkan unsur jenayah seksual yang serius.
AGC berkata, pihaknya kekal komited untuk memastikan setiap kesalahan jenayah khususnya yang melibatkan mangsa kanak-kanak dan jenayah seksual, ditangani dengan tegas dan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.
“AGC kini kekal komited untuk memastikan setiap kesalahan jenayah khususnya yang melibatkan mangsa kanak-kanak dan jenayah seksual, diambil tindakan sewajarnya dan ditangani dengan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Kes ini dijangka dibicarakan secara tertutup memandangkan ia melibatkan remaja bawah umur dan mangsa kanak-kanak.
Pihak berkuasa turut menyeru agar masyarakat menghormati privasi mangsa dan tidak menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan siasatan atau kesejahteraan pelajar terbabit.








