Fahmi Reza ditahan di Bukit Aman, terkait hantaran kritik TMJ

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Aktivis terkenal Fahmi Reza ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Aman pada Jumaat berhubung hantarannya di aplikasi X berkait Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook, Fahmi memaklumkan beliau telah dilayangkan satu surat yang memintanya untuk hadir ke IPD Bukit Aman pada Jumaat bagi memberi keterangan polis mengenai Seksyen 4(1) Akta Hasutan 233 Akta Komunikasi Multimedia

“Polis panggil, mari menari,” katanya dalam nada sarkastik.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat lebih 50 laporan polis telah dibuat terhadapnya kerana didakwa membuat hantaran kandungan yang menghina Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau TMJ.

“Tak kira berapa banyak laporan polis yang dibuat, aku bersedia untuk berdepan dengan apa-apa siasatan atau dakwaan, dan sedia pertahankan hak dan kebebasan aku untuk bersuara.

“Kita rakyat bukan hamba. Aku tak akan tarik balik atau padamkan hantaran aku itu,” katanya.

Memetik Malaysiakini, pereka grafik itu ditahan sejurus memberi keterangan di Bukit Aman pada petang tadi.

Difahamkan, peguam yang hadir bersama adalah Rajsurian Pillai dan Yohendra Nadarajan.

“Kami sedang mengusahakan pembebasannya dengan jaminan,” kata peguamnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat