SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan sedang menjalankan beberapa siasatan berhubung laporan polis berkaitan kandungan di media sosial susulan kemelut yang melanda negeri itu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kenyataan serta penyebaran kandungan di media sosial berkenaan dipercayai berpotensi mencetuskan provokasi, keresahan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sehingga hari ini, sebanyak 49 keterangan telah dirakam dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan lanjut.
Tambahnya, siasatan turut melibatkan perbuatan berunsur hasutan termasuk mengeluarkan, menerbitkan atau menyebarkan kandungan menghasut selain kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam atau menghasut mana-mana pihak sehingga menjejaskan ketenteraman awam.
Katanya lagi, siasatan juga merangkumi perbuatan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian bagi penyebaran kandungan jelik, palsu, mengancam atau menyakitkan hati.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan provokasi, menggugat ketenteraman awam serta menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R), khususnya di media sosial.
Baca juga:








