PETALING JAYA: Agenda integriti kini diangkat sebagai teras utama dalam memperkukuh tatakelola negara, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI, bukan sekadar wacana retorik.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, usaha memperkukuh integriti adalah sebahagian daripada agenda nasional yang memerlukan komitmen menyeluruh dan berterusan.
Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2025 yang berlangsung selama dua hari ini dianjurkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM).
Acara ini menghimpunkan pelbagai pihak termasuk penyelidik, ahli akademik, penggubal dasar serta wakil agensi kerajaan dan swasta untuk membentangkan hasil kajian berkaitan governans, integriti dan usaha membanteras rasuah.
“Pengukuhan budaya integriti perlu berasaskan data dan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mendepani cabaran governans serta rasuah pada masa kini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan tersebut pada pagi Khamis, sekali gus menyeru agar pendekatan berasaskan bukti dan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkukuh sistem governans negara.








