JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Saint Petersburg, Rusia bagi mengadakan lawatan khas bermula hari ini hingga Selasa.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada Ahad.
Menurut hantaran berkenaan, lawatan Seri Paduka Baginda adalah atas jemputan khas Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Terdahulu, pesawat khas yang membawa Sultan Ibrahim berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada pukul 8.25 pagi.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj turut berangkat ke LTAS bagi mengucapkan selamat jalan kepada Seri Paduka Baginda.








