KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan nasihat kepada para pemimpin politik supaya sentiasa menjaga adab dan tutur kata, selain mengelakkan sebarang bentuk provokasi melibatkan isu sensitif menjelang musim pilihan raya.
Seri Paduka Baginda bertitah bahawa suasana politik kebelakangan ini semakin hangat dengan pergerakan awal parti politik yang mula memperlihatkan strategi masing-masing bagi memenangi hati rakyat.
“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Elakkan provokasi dan pertikaian tentang isu sensitif yang berkaitan dengan raja, bangsa dan agama kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat,” titah Baginda.
Titah tersebut dizahirkan pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, pada Isnin.
Dalam titah sama, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam penghasilan serta penyebaran berita palsu yang melibatkan suara dan imej tiruan.
“Kebebasan bersuara di media sosial bukan medan untuk menabur fitnah dan kebencian dalam kalangan rakyat,” titah Baginda lagi.
Sehubungan itu, Baginda menyeru pihak berkuasa agar mempertingkatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas bagi membendung penyebaran maklumat palsu dan kandungan berunsur fitnah di media sosial.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta perwakilan asing.








