KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau mewakili Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dikurniakan keafiatan, kesejahteraan berpanjangan dan berada dalam lindungan serta rahmat Allah SWT.
“Patik bagi pihak Kerajaan MADANI dan sekalian rakyat jelata mendoakan semoga Kebawah Duli Tuanku, Raja Permaisuri Agong dan seluruh Kerabat Diraja dikurniakan keafiatan berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya pada Isnin.
Anwar turut menzahirkan harapan agar Yang di-Pertuan Agong terus memayungi negara dengan penuh keadilan dan kebijaksanaan, selaras dengan kedudukan Baginda sebagai Ketua Utama Negara serta institusi tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata institusi diraja terus memainkan peranan penting sebagai pelindung agama Islam serta menjadi lambang perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Semoga Baginda Tuanku kekal qarar memayungi negara dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan komitmen beliau dan seluruh rakyat untuk terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja Berperlembagaan.
“Patik dan sekalian rakyat akan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan.
“Dirgahayu Tuanku!” katanya.








