PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selamat kembali ke tanah air pagi ini selepas menamatkan lawatan negara selama lima hari ke Rusia yang penuh bersejarah dan bermakna.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor tepat pukul 6.30 pagi, disambut dengan penuh hormat dan kasih oleh barisan kerabat diraja Johor.
Menanti keberangkatan tiba Baginda ialah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim
Semalam, pesawat khas Baginda berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan pada pukul 11.08 pagi waktu tempatan, menandakan berakhirnya lawatan rasmi yang diadakan atas undangan Presiden Vladimir Putin.
Lawatan ini mencatat sejarah tersendiri apabila Sultan Ibrahim menjadi Ketua Negara Malaysia pertama yang mengunjungi Rusia sejak hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terjalin pada tahun 1967.
Sebelum ini, Seri Paduka Baginda turut mengadakan lawatan negara ke Singapura, China dan Brunei bagi memperkukuh hubungan serantau dan antarabangsa Malaysia.








