Agong titah sekolah dan Institusi pengajian perlu revolusi pendidikan

Oleh: Aliyaa Azmi

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menekankan bahawa sekolah dan institusi pendidikan perlu menjalani revolusi bagi menitikberatkan elemen kemanusiaan, moral, kawalan emosi serta kesedaran undang-undang dalam kalangan pelajar.

Seri Paduka Baginda bertitah, kebelakangan ini beberapa kes jenayah melibatkan pelajar dan siswazah menimbulkan kebimbangan mengenai tahap moral, agama, dan disiplin mereka, sekali gus menjejaskan imej institusi pendidikan negara.

“Saya berpandangan, sekolah dan institusi pelajaran perlu melalui revolusi pendidikan dengan menitikberatkan elemen kemanusiaan, moral dan kawalan emosi serta kesedaran undang-undang.

“Pendidikan dan pembentukan moral tidak hanya berlaku di bilik darjah atau kampus, sebaliknya ia bermula dari rumah. Rumah adalah madrasah pertama bagi setiap insan, tempat anak-anak dididik dengan nilai mulia, disiplin dan tanggungjawab kepada masyarakat,” titah Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-103 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, pada Rabu.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menegaskan generasi muda perlu berhemah dalam mengendalikan dunia siber kerana pendedahan kepada kandungan ganas boleh meningkatkan sifat agresif.

Namun begitu, Seri Paduka Baginda berpandangan bahawa sekatan teknologi digital bukan penyelesaian terbaik dan berpotensi mengganggu ekosistem pembelajaran.

“Hakikatnya, tiada jalan singkat bagi menangani masalah sosial. Ia memerlukan usaha padu semua pihak bermula dari rumah, sekolah, masyarakat, ahli politik dan kerajaan,” titah Seri Paduka Baginda.

Upacara konvokesyen itu menyaksikan ribuan graduan menerima ijazah masing-masing, diiringi kehadiran barisan pengurusan tertinggi UiTM serta tetamu kehormat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat