PETALING JAYA: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan Selamat Hari Polis Ke-219 kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta para veteran pasukan.
Sebagai Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM, Seri Paduka Baginda turut merakamkan penghargaan atas pengorbanan anggota polis yang sentiasa bersedia menjalankan tugas tanpa mengira masa dan keadaan demi menjamin keamanan serta kesejahteraan rakyat dan negara.
Baginda bertitah bahawa pengorbanan warga PDRM yang berkhidmat dalam apa jua keadaan termasuk ketika musim perayaan dan situasi kecemasan amat dihargai kerana mereka merupakan benteng utama keselamatan negara.
“Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala sentiasa melindungi seluruh warga pasukan polis dalam setiap tugas yang dilaksanakan.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda.








