PETALING JAYA: Dalam satu kejadian tragis yang menggemparkan komuniti di Bandar Sungai Long, Kajang, di mana seorang ahli perniagaan berusia 65 tahun telah ditahan kerana dipercayai membunuh isterinya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian itu berlaku pada awal pagi Khamis, di sebuah rumah di kawasan tersebut.
Katanya, kejadian malang itu dilaporkan oleh anak lelaki pasangan tersebut yang berusia 35 tahun.
Beliau memaklumkan kepada pihak polis bahawa bapanya cuba mengelar tangan dengan pisau selepas dipercayai membunuh ibunya.
Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis bersama unit forensik telah bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
“Pihak polis mendapati mangsa, seorang wanita warga tempatan berusia 63 tahun, terbaring dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidur dan telah disahkan meninggal dunia.
“Senjata pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut dirampas bersama beberapa barang kes lain.
“Suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat masalah kewangan yang dihadapi perniagaannya selama 25 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Naazron, isteri suspek juga dilaporkan sakit dan pasangan itu telah berkahwin selama 36 tahun dan mempunyai sepasang anak.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang dijadualkan berlangsung pada petang Jumaat. Punca kematian disahkan sebagai sesak nafas (suffocation).
“Suspek dibenarkan reman selama seminggu sehingga 27 Februari dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.