Ahmad Al-Sharaa dilantik Presiden sementara Syria

DAMSYIK: Pengerusi Operasi Ketenteraan, Kolonel Hassan Abdul Ghani mengumumkan pelantikan Komander Ahmad Al-Sharaa sebagai Presiden sementara Republik Arab Syria dalam fasa peralihan.

Pengumuman itu dibuat pada Persidangan Kemenangan yang diadakan di Damsyik pada 29 Januari 2025.

Al-Sharaa akan memikul tanggungjawab sebagai Presiden dan mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Pengumuman itu juga melibatkan pemberian kuasa kepada Al-Sharaa untuk membentuk majlis perundangan sementara sehingga perlembagaan tetap negara diluluskan.

Perlembagaan tahun 2012 dimansuhkan dan semua undang-undang luar biasa serta Dewan Rakyat dari rejim terdahulu dibubarkan.

Tentera rejim lama juga dibubarkan dan tentera Syria akan dibina semula berdasarkan asas kebangsaan.

Semua agensi keselamatan di bawah rejim lama dibubarkan dan sebuah institusi keselamatan baru akan dibentuk untuk menjaga keselamatan rakyat.

Parti Baath Arab Sosialis dan parti-parti lain yang berkaitan turut dibubarkan.

Semua kumpulan ketenteraan dan badan revolusi politik dan sivik akan digabungkan ke dalam institusi negara.

Ahmad Al-Sharaa juga dikenali sebagai Al-Jolani muncul sebagai pemimpin pentadbiran baru selepas kejatuhan rejim Bashar Al-Assad yang melarikan diri ke Rusia.

Al-Sharaa memasuki Damsyik sebagai pembebas, menandakan permulaan era baru dalam sejarah Syria selepas 45 tahun pemerintahan keluarga Assad.

Delegasi antarabangsa mula tiba di Damsyik untuk mengadakan pertemuan dan menentukan langkah seterusnya di Syria.

Al-Jolani yang juga Setiausaha Agung Pentadbiran Operasi Ketenteraan berjaya menjatuhkan rejim Assad melalui pertempuran Menangkis Serangan pada 27 November 2024.

Beliau kini dikenali sebagai figura kepimpinan yang sesuai untuk memimpin Syria pasca-Assad dan berusaha menubuhkan sistem pemerintahan yang menghormati kepelbagaian etnik dan mazhab.

Anda Mungkin Berminat