PETALING JAYA: Program Ziarah MADANI diteruskan pada Isnin dengan menyantuni masyarakat sekitar Dewan Undangan (DU) Petagas, Sabah.
Kunjungan penuh keprihatinan itu diketuai oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, bersama Ketua Cabang PKR Putatan, Awang Husaini.
Sebanyak 10 buah rumah diziarahi, melibatkan warga uzur serta keluarga yang memerlukan bantuan dan perhatian.
Setiap pertemuan menjadi ruang untuk mendengar sendiri luahan hati dan cabaran hidup yang dihadapi oleh masyarakat setempat.
“Saya gunakan ruang ini untuk menyampaikan sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meringankan beban mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ahmad Farhan turut mendoakan agar semua penerima bantuan dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan seharian.
“Semoga Allah SWT mengurniakan aafiyah, kekuatan dan kesejahteraan kepada semua yang diziarahi. Insya-Allah,” ujar beliau.
Untuk info, Program Ziarah MADANI merupakan antara inisiatif Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat serta memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.








