PETALING JAYA: Kecerdasan buatan (AI) kini muncul sebagai pemacu utama yang membentuk landskap ekonomi serta kehidupan rakyat di Malaysia.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, teknologi tersebut telah dimanfaatkan secara meluas merentasi pelbagai sektor termasuk kesihatan, pertanian, pendidikan dan pentadbiran.
Menurut beliau, AI dijangka menyumbang antara RM13 bilion hingga RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun menjelang 2030.
“Di peringkat nasional, ekonomi digital yang dipacu AI telah menyumbang lebih 23 peratus kepada KDNK Malaysia tahun lalu dengan nilai melebihi RM450 bilion.
“Ia bukan sekadar unjuran, tetapi petunjuk jelas bahawa AI kini beralih daripada peranan sampingan kepada tunjang utama dalam meningkatkan produktiviti, daya saing dan pertumbuhan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Belia ke-5 (ICYOUTH 2026) di Marina Putrajaya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan tadbir urus yang kukuh bagi memastikan pembangunan sistem AI dilaksanakan secara telus, selamat dan boleh dipercayai.
Bagi menyokong pembangunan ekosistem tersebut, kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif strategik termasuk penubuhan Kementerian Digital Malaysia serta pelaksanaan rangka kerja perundangan berkaitan keselamatan siber dan perlindungan data.
Persidangan berkenaan turut menekankan peranan generasi muda sebagai pemacu utama dalam memperkasa inovasi dan pembangunan AI di peringkat nasional.
Baca juga:








