AI, EV Dan Pertahanan Jadi Fokus Perbincangan Malaysia–Afrika Selatan

JOHANNESBURG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan Afrika Selatan melalui pendekatan pragmatik dan berfasa, dengan memberi penekanan kepada kerjasama teknologi, ekonomi serta industri strategik.

Dalam pertemuan bersama kapten dan pemain industri utama di Johannesburg, Anwar berkata perbincangan yang berlangsung merangkumi sektor kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), infrastruktur dan perbankan.

Beliau berkata, hala tuju itu bukan sahaja melibatkan hubungan kerajaan-ke-kerajaan, tetapi turut mengangkat peranan sektor swasta sebagai penggerak utama.

“Saya bertemu para kapten dan pemain industri di Afrika Selatan untuk berbincang mengenai halatuju lapangan teknologi dan ekonomi.

“Fokus kami mencakup sektor AI, EV, infrastruktur dan perbankan dengan perbincangan yang strategik dan jelas.

“Kerjasama ‘business-to-business’ turut diberi penekanan agar hubungan ekonomi tidak hanya di tingkat kerajaan-ke-kerajaan tetapi turut merangkum pemain industri yang menjadi penggerak sebenar,” kata beliau.

Selain sektor ekonomi, Anwar turut menyentuh peluang dalam bidang pertahanan.

Beliau berkata, Menteri Pertahanan Malaysia dijadualkan kembali ke Afrika Selatan tahun hadapan untuk meneroka potensi kerjasama industri pertahanan.

“Kami turut menyentuh sektor pertahanan dan Menteri Pertahanan akan kembali ke sini tahun hadapan bagi meneroka peluang industri pertahanan di sini.

“Malaysia komited memperkukuh hubungan ini secara pragmatik dan berfasa,” katanya.

Anda Mungkin Berminat