AI Pemacu Produktiviti Perkhidmatan Awam – Anwar

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan bersama warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membincangkan langkah reformasi perkhidmatan awam.

Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kecekapan tadbir urus serta meningkatkan mutu penyampaian kepada rakyat.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar menekankan kepentingan penerapan teknologi baharu khususnya Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemangkin transformasi.

“Pastinya usaha ini terkait rapat dengan penerapan teknologi baharu termasuk penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), yang berpotensi meningkatkan produktiviti, mempercepat proses kerja serta memantapkan keupayaan perkhidmatan awam agar lebih responsif, cekap dan berkesan dalam memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, komitmen berterusan penjawat awam amat penting dalam menjayakan aspirasi Malaysia MADANI.

“Usaha membawa negara ke tahap yang lebih maju dan berdaya saing menuntut amanah, integriti serta profesionalisme tinggi, apatah lagi dalam menghadapi suasana dunia yang semakin tidak menentu dan mencabar,” katanya.

Anda Mungkin Berminat