Aishah Kembali Dengan Hadiah Istimewa Buat Peminat, ‘Taman Keabadian’

Oleh: Tyah Helmi

PENYANYI legenda tanah air, Datuk Aishah bakal menghadiahkan peminatnya sebuah karya baharu yang penuh penghayatan berjudul ‘Taman Keabadian’, ciptaan komposer berbakat besar, Senna.

Lagu itu dijadualkan menemui pendengar di semua platform penstriman digital bermula 8 Ogos 2025.

Dalam satu kenyataan media, hari ini, Aishah meluahkan rasa syukur kerana masih diberi ruang untuk terus berkarya dan menyanyi di pentas seni.

“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus menyanyi dan berkarya.

“Setiap lagu yang saya nyanyikan adalah sebahagian daripada hidup saya dan saya harap ia juga menjadi sebahagian daripada hidup orang lain,” ujar beliau.

‘Taman Keabadian’ membawa tema yang menyentuh jiwa tentang perpisahan, kerinduan dan harapan untuk pertemuan semula dengan insan tersayang.

“Lagu Taman Keabadian menyentuh tema perpisahan dengan insan-insan yang tersayang – sama ada ibu bapa, keluarga, sahabat mahupun teman seperjuangan yang telah pergi meninggalkan kita.

Dalam bait-bait liriknya terselit rasa kerinduan yang amat mendalam, namun disulami harapan bahawa pertemuan semula akan berlaku di Taman Keabadian,” katanya.

Sekembalinya ke tanah air, Aishah terus mengukir kejayaan sebagai penyanyi solo dengan deretan lagu balada ikonik seperti “Janji Manismu”, “Cinta Beralih Arah”, “Bahtera Merdeka” dan “Kemaafan Dendam Yang Terindah”, karya-karya yang kekal relevan dan terus dinyanyikan oleh generasi baharu.

Pengiktirafan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Industri Muzik (AIM) serta penganugerahan gelaran Datuk sebagai tanda jasa dalam seni suara menjadikan Aishah sebagai ikon budaya dan khazanah negara.

Dalam usaha mengekalkan momentum dalam industri muzik, Aishah terus aktif di media sosial melalui akaun rasmi Instagram dan TikTok: @aishahjmm, di mana beliau berkongsi perkembangan seni dan berinteraksi dengan peminat.

Para peminat juga boleh menikmati semula versi baharu dan lagu-lagu malar segar seperti Janji Manismu, Sensation, Fatwa Pujangga, Don’t Let Me Fall Alone dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu.

Anda Mungkin Berminat