PETALING JAYA: Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) mengesan kewujudan sebuah akaun video palsu di TikTok yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk meniru suara Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Video tersebut disebarkan dengan dakwaan palsu kononnya Seri Paduka Baginda menawarkan bantuan kewangan kepada orang ramai, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi baharu.
Dalam satu kenyataan rasmi, Royal Press Office berkata, kandungan sedemikian adalah penipuan tidak sahih yang mencemarkan nama baik Institusi Diraja.
“Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan akaun-akaun palsu yang diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut mengingatkan bahawa penyamaran dan penyalahgunaan identiti merupakan kesalahan di sisi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan tegas.
Pihak berkuasa turut digesa agar menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap individu yang terlibat dalam penyebaran akaun palsu berkenaan.
Fenomena penyalahgunaan teknologi AI untuk tujuan penipuan kini semakin membimbangkan terutama apabila melibatkan tokoh kenamaan dan institusi diraja.
Ia bukan sahaja menimbulkan ancaman terhadap keselamatan digital, malah mencabar etika penggunaan teknologi dalam masyarakat.
Terdahulu, beberapa laporan turut diterima berkenaan penciptaan kandungan palsu menggunakan AI yang menyerupai institusi diraja, memperlihatkan keperluan mendesak untuk kawalan dan kesedaran yang lebih tinggi dalam era digital ini.