KAJANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melancarkan operasi besar-besaran terhadap sembilan kilang haram yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen sah.
JIM dalam satu kenyataan berkata, operasi yang bermula pada 11.00 pagi itu melibatkan 84 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya.
“Serbuan itu dilakukan selepas risikan selama seminggu dan aduan awam mengenai aktiviti kilang-kilang tersebut.
“Dalam operasi ini, 79 individu diperiksa terdiri daripada 67 warga asing dan 12 warga tempatan,” menurut kenyataan itu.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati 57 warga asing telah melanggar undang-undang imigresen termasuk 29 lelaki dan 10 wanita dari Myanmar, tujuh lelaki dari Bangladesh, dua lelaki dari Pakistan, lima wanita dari Indonesia, seorang lelaki dari Nepal, seorang lelaki dari Nigeria, seorang wanita dari Kemboja dan seorang lelaki dari China.
JIM berkata, kesemua mereka ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Seorang lelaki warga Nigeria turut ditahan kerana dipercayai melanggar Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua tahanan, berusia antara 7 hingga 49 tahun telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut.
JIM berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas mereka.