PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh mengumumkan pengunduran dirinya daripada jawatan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu depan.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Khamis.
Beliau berkata, keputusan tersebut diambil selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Saya mohon maaf. Hari ini saya nak umumkan, untuk menunjukkan bahawa saya bawa suara akar umbi yang keresahan, saya letak jawatan sebagai exco berkuat kuasa minggu depan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Akmal kerap memberi bayangan mahu berundur daripada jawatan yang disandangnya.
Tindakan itu dikaitkan dengan gesaannya agar UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan, yang mendapat reaksi negatif daripada Ahmad Zahid.








