Aksi ‘Wheelie’ Bahaya: Dua Penunggang, Dua Pembonceng Remaja Diberkas

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengesahkan bahawa tindakan lanjut telah diambil berhubung video tular yang memaparkan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya ‘wheelie’ di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak dan Jalan P. Ramlee.

Dalam operasi susulan oleh Unit Risikan/Operasi JSPT Kuala Lumpur, dua lagi penunggang motosikal bersama dua pembonceng yang terlibat dalam rakaman tersebut berjaya dikesan dan ditahan pada pukul 12.54 tengah malam tadi.

Mereka terdiri daripada dua lelaki Melayu yang menunggang motosikal serta dua remaja perempuan Melayu berusia antara 15 hingga 18 tahun.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

JSPT Kuala Lumpur menegaskan bahawa pihaknya memandang serius kegiatan samseng jalanan yang bukan sahaja mengundang risiko kepada diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan orang awam.

Tindakan pengesanan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti berbahaya ini.

Orang ramai sekali lagi diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti samseng jalanan serta sentiasa mematuhi undang-undang demi keselamatan bersama.

Anda Mungkin Berminat