Amanah bimbang tindakan Presiden PAS mampu cutuskan perpecahan orang Melayu Islam

Parti Amanah meluahkan rasa bimbang terhadap tindakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang telah menyinggung Duli Yang Maha Mulia, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Menurut Setiausaha Agung, Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil, pihaknya risau terhadap kenyataan Abdul Hadi yang disifatkan memiliki sentimen perkauman dan agama yang menjurus kepada perpecahan dalam kalangan orang Melayu Islam.

“Menjadi tugas hakiki pihak berkuasa untuk membendung kecurangan pemikiran ala khawarij ini daripada menebal dalam kalangan umum terutama generasi muda.

“Hakikatnya, Islam terus subur dalam negara in walaupun Presiden PAS cuba menyalahkan Perlembagaan Persekutuan bag membangkitkan kebencian dalam kalangan umat Melayu Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Abdul Hadi membuat satu hantaran di media sosialnya yang bertajuk Ketinggian Islam wajib dipertahankan, mengingatkan bahawa Islam adalah keutamaan dan memberi peringatan kepada semua supaya mereka menjaga akidah masing-masing.

Susulan itu baginda berdukacita dengan kenyataan Abdul Hadi membatikan peringatan kepada para alim ulama, peguam, hakim, wakil rakyat dan termasuk Raja-raja Melayu pada 20 Februari lalu.

Kenyataan itu dibuat berhubung reaksi terhadap kes peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid mencabar 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Titah baginda yang mengingatkan Presiden PAS untuk tidak membuat kenyataan yang mengelirukan dan membawa kegelisahan yang boleh menjurus kearah perpecahan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat