PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyuarakan harapan agar Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Jumaat menjadi manifestasi keberanian sebenar Kerajaan MADANI dalam memperbaharui dasar, melaksanakan dengan jujur dan mengajak rakyat membina minda baharu ke arah masa depan yang lebih progresif.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, belanjawan kali ini perlu tampil sebagai dokumen yang bukan sahaja menyusun angka dan peruntukan tetapi juga mencerminkan tekad politik untuk memperkukuh kemampuan rakyat dan pemimpin melalui agenda besar nasional yang merangkumi peningkatan kemahiran, keusahawanan, kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, pertanian moden dan literasi ekonomi.
Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya terus dilihat sebagai penerima bantuan semata-mata, sebaliknya perlu digalakkan menjadi pencipta nilai baharu dalam ekosistem ekonomi negara.
Mahfuz turut menyarankan agar pemimpin politik keluar daripada kepompong fahaman lama yang hanya tahu meraih undi dengan mempolitikkan isu rakyat dan sebaliknya menjadi pembimbing dalam proses pembaharuan ekonomi.
“Pemimpin politik menerusi belanjawan 2026 perlu menjadi pembimbing kepada rakyat untuk turut serta dalam pembaharuan ekonomi.
‘Reformasi ekonomi tanpa rakyat dan pemimpin yang faham serta bersedia, hanya melahirkan ketidakpercayaan dan penolakan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, reformasi sebenar tidak akan berjaya selagi rakyat terus berpaut pada pemikiran lama, menunggu bantuan dan bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.
Sebaliknya, Malaysia perlu melahirkan rakyat yang berdaya fikir, berdaya saing dan berdaya cipta.
Sebagai langkah ke hadapan, Mahfuz mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan Kempen Nasional ‘Malaysia Berdaya 2030’ sebagai gerakan kesedaran rakyat untuk menanam nilai tanggungjawab bersama, produktiviti dan kesediaan menghadapi masa depan ekonomi yang lebih terbuka.
“Kerajaan wajar memperkenalkan Kempen Nasional ‘Malaysia Berdaya 2030’ untuk menyatukan naratif perubahan, bahawa pembaharuan ekonomi ini adalah usaha bersama antara kerajaan, rakyat dan penjawat awam,” katanya.
Menurutnya, kempen tersebut perlu menanam semangat tanggungjawab bersama dan fikiran progresif, di mana setiap rakyat dan setiap pegawai kerajaan melihat diri mereka sebagai pemilik kepada masa depan negara, bukan sekadar penumpang kepada sistem.
“Bajet bukan hadiah kerajaan kepada rakyat tetapi kontrak moral untuk membina masa depan bersama,” katanya.






