Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Kerajaan MADANI mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal sahaja.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, dalam kenyataan media pada Selasa berkata, langkah tersebut penting bagi mencegah penumpuan kuasa serta memperkukuh sistem demokrasi negara.
“Saya menyokong usaha untuk menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri sebagai langkah penting mencegah penumpuan kuasa dan mengukuhkan demokrasi.
“Namun, perbahasan ini perlu dilakukan secara matang, berfakta dan berpandukan kepentingan jangka panjang negara,” katanya.
Mahfuz turut berpandangan bahawa tempoh 15 tahun atau tiga penggal adalah lebih seimbang, asalkan disertai dengan pengukuhan dan kebebasan institusi negara secara menyeluruh.
“Cadangan had 10 tahun atau dua penggal adalah berprinsip dan berasas khususnya untuk mengelakkan budaya kuasa berpanjangan.
“Negara memerlukan masa yang mencukupi untuk merangka, melaksanakan dan memantapkan dasar strategik seperti reformasi pendidikan, keselamatan makanan, peralihan tenaga dan pembangunan ekonomi jangka panjang.
“Banyak dasar nasional hanya menunjukkan hasil sebenar selepas satu dekad atau lebih,” katanya.
Pengalaman negara lain
Mahfuz menekankan bahawa had tempoh jawatan tidak semestinya menjamin negara bebas daripada rasuah atau kelemahan institusi.
Beliau memberi contoh Indonesia yang mengehadkan jawatan presiden kepada 10 tahun, namun masih berdepan dengan pengaruh wang, dominasi oligarki ekonomi dan kos sara hidup yang membebankan rakyat.
Di Filipina pula, jawatan presiden hanya terhad kepada satu penggal tetapi sistem dinasti politik tetap berleluasa, institusi negara dikawal elit dan ketidaksamaan ekonomi kekal tinggi.
“Banyak negara lain di Amerika Latin dan Afrika menunjukkan fenomena sama, had tempoh diikuti pemimpin baru tetapi institusi lemah dan rakyat masih menanggung beban,” katanya.
Mahfuz berkata, isu sebenar bukan sekadar jumlah penggal tetapi siapa yang mengawal institusi dan mekanisme semak imbang.
“Tanpa Parlimen yang berfungsi, kehakiman bebas, badan penguatkuasa yang profesional dan pembiayaan politik telus, had tempoh hanyalah kosmetik demokrasi,” ujarnya.
Kata beliau, perbincangan mengenai had tempoh Perdana Menteri tidak boleh dipisahkan daripada agenda reformasi institusi.
“Soal utama bukan sekadar 10 atau 15 tahun tetapi bagaimana memastikan kuasa sentiasa diawasi, dasar negara berterusan dan kepimpinan boleh diperbaharui melalui mandat rakyat.
“Had tempoh penting untuk elak kuasa berlebihan, tetapi negara juga perlukan masa memimpin.
“Tanpa institusi yang bebas, tegas, cekap dan berintegriti, tempoh 10, 15 atau 20 tahun belum menjamin negara akan jadi baik,” jelas beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.
Beliau berkata, RUU tersebut merupakan sebahagian daripada langkah reformasi institusi yang menjadi hala tuju utama kerajaan pada sesi Parlimen tahun ini.








