AMH Kecam Politik Ugutan, Putar Belit Fakta Penyokong PN

PETALING JAYA: Angkatan Muda HARAPAN (AMH) mengecam budaya politik melampau yang didakwa semakin menular dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional (PN) termasuk insiden ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan AMH, Ammar Atan, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai ancaman serius terhadap keselamatan negara dan menuntut agar semua pihak khususnya PAS dan PN, tampil mengecam perbuatan biadab itu.

“Walaupun dilakukan oleh penyokong, tindakan seperti ini sangat berbahaya kerana jika mereka sanggup mengugut Perdana Menteri, tidak mustahil sesiapa sahaja termasuk ayah dan ibu kita yang dimusuhi turut terancam,” katanya.

AMH turut menggesa agar budaya politik ugutan dan kekerasan ditolak sepenuhnya oleh semua parti politik demi keharmonian negara.

“Membiarkan ia berlaku tanpa bantahan hanya akan menormalisasi budaya politik ugutan dan kekerasan.

“Semua pihak, tanpa mengira parti, harus menolak budaya politik ganas sebegini demi keselamatan dan keharmonian negara,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, AMH membidas tuduhan Ketua Dewan Pemuda PAS yang cuba mengaitkan kekecohan di Kampung Sungai Baru dengan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dengan menyifatkannya sebagai tidak berasaskan fakta dan bermotif politik.

Menurut AMH, proses pengambilan tanah Kampung Sungai Baru telah diwartakan pada 21 Jun 2021 di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960), ketika PN masih memegang tampuk kuasa.

“Malah, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, pernah menuntut penjelasan daripada pihak yang terlibat ketika itu,” ujarnya.

AMH berkata, Pemuda PAS sepatutnya mendesak pemimpin PN sendiri untuk bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut, bukannya menuding jari kepada Kerajaan Perpaduan.

Dalam insiden pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, AMH turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap Pemuda PAS yang didakwa tidak membela anggota polis yang cedera akibat dilontar batu.

“Kebebasan berhimpun memang dijamin, namun tidak boleh dijadikan alasan untuk mencederakan mana-mana anggota penguatkuasa yang menjalankan tugas,” katanya.

AMH menyifatkan kenyataan Pemuda PAS sebagai songsang dan berunsur fitnah serta cubaan mengapi-apikan sentimen perkauman untuk menutup kegagalan mereka semasa berkuasa.

“Kenyataan songsang dan cubaan mengapi-apikan sentimen perkauman hanya membuktikan kegagalan mereka sewaktu berkuasa dahulu, dan kini cuba menutupinya dengan politik fitnah.

“Rakyat Malaysia wajar menolak politik ugutan, fitnah, serta perpecahan kaum demi kestabilan dan kesejahteraan negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat